10 Nov 2015

Adakah anda khusyuk dalam solat?


Assalamualaikum

Artikel ni diambil dari blog aku islam. Tak salah kan kongsi benda yang baik & bermanfaat?


Tanyakan pada diri kita, bagaimana fikiran, perasaan dan rasa hati semasa mengerjakan solat? Adakah fokus kita tertumpu sepenuhnya kepada Allah? Atau hati masih liar, fikiran masih merawang dan perasaan masih kacau semasa mendirikan solat? 
Bagaimana pula soal penghayatannya? Adakah kita dapat merasai apa yang telah kita fahami itu? Semasa mengucapkan bacaan-bacaan dalam solat itu adakah kita lakukan dengan sedar? Atau hanya sekadar ucapan biasa yang tidak membawa apa-apa makna dan rasa?
“Dan berjayalah orang yang beriman, yakni orang yang khusyuk dalam solatnya.” [Surah al-Mu’minun 23: 1-2]

Apakah maksud khusyuk?


Solat yang khusyuk tercapai apabila hati, fikiran, perasaan dan seluruh pancaindera tunduk patuh kepada Allah sepanjang waktu mengerjakan solat. 
Semasa solat, seseorang itu berhubung secara langsung dengan Allah. Sepanjang mendirikan solat, seseorang hamba berdoa terus dihadapan-Nya. 
Hubungan dengan Allah ini akan menimbulkan rasa-rasa tertentu di dalam hati yang kemudian membentuk hati itu akur, taat dan patuh kepada Allah. 
Langkah untuk khusyuk dalam solat (inshaallah dapat membantu)
1. MENCARI PENGERTIAN (faham)
Perkara ini perlu dimulakan dengan memahami makna bacaan (rukun qauli) dan erti setiap perbuatan dalam solat.
Apabila mengucapkan takbiratulihram dan membaca surah al-Fatihah misalnya, makna setiap kalimahnya perlu diketahui satu per satu.
Jadi, belajarlah bahasa Arab sekurang-kurangnya untuk mengetahui makna bacaan-bacaan yang wajib dan sunat dalam solat.
2. FOKUSKAN FIKIRAN
Menghindarkan gangguan hal-hal lain, sehingga fikiran, perbuatan dan ucapannya seiring – yakni terfokus sepenuhnya kepada makna bacaan dan perbuatan dalam solat.
Sekiranya seketika kita terfikir juga hal-hal lain, tapi ingatan dan fikiran tetap terikat pada tujuan solat (mengingati Allah), keadaan ini samalah seperti orang yang sedang memandu kereta.
Fikirannya tetap fokus kepada destinasi yang hendak dituju walaupun sekali – sekala ternampak juga objek-objek dan pemandangan di tepi-tepi jalan.
Semua itu tidak menggangu fokusnya.
Lain pula halnya jika dia “terlalai” dengan pemandangan-pemandangan di tepi jalan sehingga dia tidak sedar bahawa sudah terlajak jauh daripada destinasinya.
3. MEMBESARKAN ALLAH
Apabila orang yang kenal Allah mengucapkan kalimah “Allahuakbar” misalnya, dia bukan sahaja tahu maknanya (Allah Maha Besar) malah hatinya turut merasai betapa hebatnya kuasa Allah yang telah mencipta dirinya, alam semesta, akhirat dan segala makhluk.
Pada ketika itulah terpancarnya rasa-rasa yang seni dan indah dalam fikiran dan jiwa yang tidak mungkin terjadi diluar solat.
4. KAGUM DAN TAKUT AKAN KEAGUNGAN ALLAH 
Hasil daripada merasai kebesaran Allah, maka timbul pula rasa takut dan kagum kepada-Nya. Rasa takut dan kagum kepada Allah ini tidak sama dengan rasa takut dan kagum kepada perkara-perkara lain.
Kita takut kepada harimau kerana keganasannya, tetapi kita takut kepada Allah kerana kehebatan-Nya. Takut akan harimau, kita lari menjauhinya, tetapi takut akan Allah kita datang menghampirinya.
Rasa takut akan timbul apabila seseorang gerun akan kemurkaan Allah dan Neraka-Nya.
Rasa takut ini diterjemahkan dalam solat dengan perbuatan berdiri betul, menundukkan kepala, mata melihat ke tempat sujud (tidak berani mendongak), rukuk serta sujud.
5. RASA MENGHARAP KEPADA ALLAH
Rasa mengharap ialah pengharapan seorang hamba untuk mendapat keampunan, kasih sayang dan syurga Allah.
Jika rasa takut sahaja dibiarkan mendominasi jiwa, dikhuatiri akan timbul sangka buruk dan jahat sangka terhadap Allah.
Padahal dalam reality, Allah lebih suka mengampunkan dosa berbanding menyeksa hamba-Nya yang berdosa.
Oleh sebab itu, ulama berpesan dalam keadaan biasa seseorang hendaklah menyeimbangkan rasa  takut dan harapnya umpama dua sayap pada burung yang membolehkannya terbang dengan stabil dan selamat.
Jangan terlalu takut, nanti timbul sangka buruk kepada Allah. Jangan terlalu harap, nanti terjadi sikap sambil lewa serta “berangan-angan” akan keampunan Allah.
Rasa harap dalam solat ini adalah menerusi penghayatan ketika bacaan al-Fatihah (mengharapkan jalan yang lurus), bacaan qunut (mengharapkan hidayah, kesihatan dan lain-lain) dan bacaan ketika duduk diantara dua sujud (mengharap keampunan, belas kasihan, ditinggikan darjat, dan lain-lain)
Manakala melalui perbuatan duduk dalam tahiyat awal dan akhir, sujud serta rukuk – semuanya melambangkan rasa pengharapan seorang hamba yang sedang meminta-minta dan merayu-rayu.
6. RASA MALU DAN HINA DIRI DALAM SOLAT
Rasa malu dan hina diri ialah kemuncak segala rasa yang timbul sebelumnya. Oleh itu PERLU ditimbulkan rasa berdosa kepada Allah.
Apabila ada rasa berdosa maka barulah timbul rasa malu.
Cara untuk menimbulkan rasa berdosa ialah dengan menimbulkan kesedaran (insaf) akan kelalaian diri, lemah melaksanakan tanggungjawab, kurang ikhlas, banyak prasangka buruk, tidak sabar dan reda dengan takdir dan banyak “berhutang” kepada Allah.
Sewaktu sujud, kita meletakkan kepala, dahi dan muka yang sentiasa berada “di atas” (sentiasa dihormati) ke tempat yang paling bawah (tempat sujud).
7. MEMAKAI PAKAIAN YANG PALING SELESA DAN CANTIK KETIKA SOLAT
Nampak seperti remeh, namun ia juga adalah salah satu langkah yang boleh dipraktikkan untuk mencapai khusyuk di dalam solat.
Sebolehnya pilihlah pakaian yang paling selesa, suci dan khas untuk solat.
Pilih pakaian  yang diperbuat daripada material yang paling baik, yang tidak membuatkan kita berpeluh apabila panas, tidak longgar atau ketat sehingga mengganggu pergerakan solat.
Dan juga pilihlah yang paling cantik, sempurna dan dikhaskan untuk solat. Kerana solat kita adalah untuk menghadap Allah, Raja yang paling Agung dan Allah sangat sukakan kecantikkan.
Innallah jamil, wa yuhibbu jamal: Allah itu cantik dan sukakan kecantikan.
.
.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...